Saturday, November 15, 2014

Kaji Semula Kaedah Pengajaran Bahasa Inggeris

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran supaya mengkaji semula kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Inggeris jika mahu melihat peningkatan tahap penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar sekolah.

Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Prof Madya Dr S. Ganakumaran berkata, kaedah P&P Bahasa Inggeris kini masih menggunakan teknik lama sedangkan persekitaran luaran sudah berubah.

Beliau berkata, kaedah P&P sekarang lebih mementingkan aspek peperiksaan semata-mata berbanding aspek 'kompetensi fungsi' iaitu penguasaan bahasa untuk menyempurnakan aspek komunikasi.




"Kita tidak memikirkan apa penguasaan dan kebolehan pengunaan bahasa itu oleh pelajar. Misalnya apa yang mereka boleh lakukan, bolehkah mereka bercerita dalam bahasa Inggeris atau bolehkah mereka berada dalam satu perbualan formal bahasa Inggeris," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sistem pembelajaran Bahasa Inggeris kini lebih mementingkan keputusan peperiksaan dan guru hanya mengajar untuk pelajar mereka lulus peperiksaan dengan lebih memfokus kepada aspek soalan dan teknik menjawab peperiksaan dan bukan kepada kompetensi fungsi.

Ganakumaran yang juga anggota Majlis Penarafan Kualiti dan Standard Bahasa Inggeris Malaysia berkata kerajaan perlu segera mengatasi P&P bahasa Inggeris memandangkan tahap pengusaan bahasa itu yang masih lemah dalam kalangan pelajar walaupun sudah mengikuti subjek berkenaan sejak Tahun 1.

Pada masa yang sama beliau meminta masyarakat agar mengubah persepsi bahawa bahasa Melayu akan dipinggirkan sekiranya bahasa Inggeris diberi perhatian dalam aspek pendidikan dan pekerjaan di negara ini. - Bernama


[SUMBER]

No comments:

Post a Comment